Friday, January 3, 2014

Posted by NeoJournalis 1:27 AM 18 comments
Dalam tahun - tahun kebelakangan ini, kita melihat satu wave umat Islam untuk kembali kepada jalan agama. Wave ini sangat menggembirakan, apatah lagi apabila kita melihat yang aktiviti - aktiviti keagamaan kembali mekar menghiasi kehidupan masyarakat, dan kesedaran beragama semakin subur meningkat.

Walaupun begitu, tidak dapat tidak kita juga dapat menyaksikan kebangkitan satu kelompok ekstrimis yang bertopengkan agama untuk memijak kelompok masyarakat supaya berada dibawah telunjuk mereka.

Dalam keghairahan masyarakat Muslim untuk kembali kepada Jalan Allah, kita seharusnya menjadi lebih peka tentang siapa yang kita gelar "Ulama' ".

Perkataan "Ulama" itu merupakan plural kepada perkataan "Alim", yang secara literalnya bermaksud, "Mengetahui". Di sini dapat pula kita simpulkan, bahwa secara mudahnya, alim itu bolehlah digandingkan dengan keadaan "yang berilmu". Tetapi, ramai daripada kita selalu tersalah anggap, dan mengatakan seseorang yang rajin beribadah itu sebagai 'orang alim'. Sepatutnya, ahli ibadah itu dipanggil 'abid' dengan sifatnya yang wara', dan bukan 'alim' yang sifatnya berilmu, walaupun secara rasionalnya, seseorang yang rajin beribadah itu selalunya berilmu, tetapi si jahil juga ada yang rajin beribadah.

Mengapakah saya membangkitkan persoalan 'alim', 'warak' dan 'abid' ini ?

Mudah saja. Pada ketika sekarang, ketika umat Islam terutama di Malaysia terlalu ghairah dengan paluan semangat untuk kembali kepada agama, kekeliruan ini kelihatan semakin menjadi - jadi. Terlalu ramai orang yang dicap dan dipanggil sebagai 'orang alim' sedangkan kadar ilmunya tidak sehebat manapun. Pendapat ini mungkin sedikit keras dan tidak dapat diterima oleh majoriti masyarakat, tetapi tanyakan kepada diri anda sendiri apakah orang alim itu hanya bijaknya dalam bidang keagamaan sahaja ?


Mari kita sorot kembali kepada zaman kegemilangan Islam selepas wafatnya baginda Rasulullah. Pada kurun - kurun selepas kewafatan Rasulullah, umat Islam dan Islam itu sendiri sedang berada di kemuncaknya. Kemunculan nama - nama seperti Ibn Sina, Al-Khwarizmi, Jabbar ibn Hayyan, Al-Kindi, Al-Farabi dan Al-Razi begitu agung di mata dunia. Mereka merintis jalan kebangkitan 'Islamic Renaissance', di mana ilmu pengetahuan menjadi titik tolak pembinaan tamadun agung. Dan sudah seharusnya mereka ini digelar sebagai 'ulama' di atas kepakaran mereka dalam pelbagai cabang disiplin keilmuan, sama ada di bidang sains, teknologi, falsafah dan juga teologi. Hasil kajian mereka masyhur mengharumkan nama Islam di mata dunia dan menyebabkan Islam dihormati. Malah, kerja - kerja penyelidikan mereka menjadi rujukan para sarjana Eropah pada zaman Pertengahan yang pada ketika itu masih lagi pada zaman Gelap. Kehebatan ilmu pengetahuan sarjana Islam pada zaman tersebut sehingga tertubuhnya universiti di Granada, Sevilla, Toledo, Baghdad dan Damsyik. Dan pada zaman ini, saintis - saintis yang bertaraf alim ulama juga bersama dengan pemerintah memimpin masyarakat Islam keluar dari tembok kejahilan, sehingga Islam itu terpandang sebagai satu simbol pembebasan. Masyarakat bukan Islam akhirnya memilih Islam sebagai lambang kebijaksanaan, pembebas, dan simbol 'humanity' kerana dasar - dasarnya. Inilah hasil kerjasama antara para ulama yang bijak pandai dalam pelbagai disiplin ilmu dan juga pemerintah.

Tapi itu cerita 1000 tahun yang lampau. 1 milenia terdahulu.

Mengapa pula Islam pada hari ini dihina dan dipermain - mainkan oleh bukan Islam ?
Jawapannya mudah. Kerana ulama yang sebenar, yang bijak pandai dalam pelbagai cabang ilmu, yang benar - benar cintakan ilmu pengetahuan sudah hampir tiada lagi. Tanyakan saja kepada orang Islam sekelian banyak, siapa ulama ? Apabila disebut perkataan ulama apakah yang terlintas di minda mereka ? 90% pasti akan mengatakan, seorang yang digelar ulama itu berserban, berjubah, pasti tinggi ilmu agama mereka. Sampai situ je. Tak ada lebih. Sedangkan, perkataan ulama itu merujuk kepada 'kumpulan orang yang mengetahui'. Memadaikah dengan hanya mengetahui tentang ilmu agama, maka seseorang itu dipanggil ulama ? Sedangkan pengetahuan yang diperoleh itu adalah hasil kajian orang lain selama 1000 tahun lepas, dan bukan kajian yang dilakukan dirinya sendiri ? Apakah ilmu pengetahuan itu kekal tidak berubah selepas 1000 tahun ?
Inilah yang berlaku apabila masyarakat menganggap orang yang berjubah serban dan pandai agama sahaja yang boleh dianggap ulama. Sedangkan, Islam tidak pernah mengatakan sebegitu. Jikalau kita mengambil takrifan harfiah, sudah pastilah saintis, ahli ekonomi, ahli kejuruteraan, ahli pembinaan, ahli perniagaan juga boleh dianggap sebagai ulama, kerana mereka adalah pakar specialist yang tahu dan berilmu tentang disiplin ilmu mereka. Tetapi cuba saudara - saudari menggelarkan seorang saintis Muslim sebagai Ulama Sains, pastinya saudara - saudari akan dipandang seperti orang bodoh yang tidak berpengetahuan luas dan diketawakan orang banyak. Akan tetapi tidak ramai orang yang menyedari bahwa ianya satu kemungkinan, yang mana masyarakat Muslim boleh memiliki Ulama Sains, Ulama Teknologi, Ulama Kejuruteraan pada zaman kini. Bunyinya sangat janggal, tetapi ianya nampak lebih autoritatif bukan ?

Kekuatan perkataan Ulama itu sangat hebat pada minda seorang Muslim, sehinggakan, apa sahaja yang keluar dari mulut seorang 'Ulama' boleh menundukkan siapa sahaja yang bergelar Muslim. Tidak ada sesiapa pun yang berani bersoal jawab dan menyanggah kerana takut kepada orang yang bergelar Ulama. Sedangkan, tidak ada sebarang perkembangan ilmu tanpa kajian, perbincangan dan debat menggunakan akal yang sihat.

Tidakkah Allah Ta'ala itu mengurniakan akal untuk digunakan sebaik - baiknya ?
Tidakkah Allah Ta'ala itu mengurniakan kemahiran berfikir itu untuk digunakan sebaik - baiknya ?
Tidakkah Allah Ta'ala itu mengurniakan kebolehan mengkaji dan belajar untuk digunakan sebaik - baiknya ?

Tetapi apa yang berlaku pada masyarakat Islam hari ini adalah sebaliknya. Mereka sewenang - wenang mengetepikan akal hanya kerana hendak mengikuti kata - kata seseorang yang digelar Ulama. Seorang yang diberi gelaran oleh seorang yang lain. Buta - buta mengikuti tafsiran orang yang digelar Ulama tanpa menyelidiki salah betulnya, rasional tidaknya tafsiran tersebut. Tanpa benar - benar mengetahui bagaimana asal - usul tafsiran tersebut. Dan kemudiannya, mereka usung pendapat dan tafsiran tersebut ke sana - sini, dan mengatakan 'Inilah pendapat yang paling benar. Barang siapa yang tidak mengikuti pendapat ini akan mendapat kemurkaan Allah', atau 'Barangsiapa yang tidak mengikuti pendapat ini, maka dia bukan lagi seorang Muslim'. Siapa mereka ini untuk menentukan tentang hak orang lain ? Bukankah yang tadinya itu dikirakan sebagai pendapat ? Apakah Islam mengajarkan kita semua supaya menyumbatkan pendapat yang kita percayai ke tembolok saudara kita, dan apabila mereka membantahnya dengan hujah yang bernas, maka kita labelkan mereka sebagai 'bukan dari golongan kita' ?

Apa sucinya pendapat yang kita pegang, berbanding pendapat saudara Muslim kita yang lainnya ?
Pernahkah kita mengkaji tentang pendapat saudara Muslim kita yang lainnya sebelum kita melabel mereka ?
Pernahkah kita berbincang tentang pendapat yang berbeza, sebelum kita mendapat kesimpulannya ?
Pernahkah kita berbincang dengan secara rasional tanpa melibatkan emosi, berkenaan perkara - perkara yang tidak sejalan dengan pendapat kita ?

Justeru, keadaan kemunduran orang Islam pada hari ini turut berfaktorkan kurangnya ulama Muslim dalam pelbagai cabang disiplin. Apabila kita hendak berbincang tentang ekonomi, siapa Ulama rujukan kita ? Tentang sains dan Teknologi, siapa Ulama yang hendak kita rujuk ? Tentang kejuruteraan dan pembinaan bangunan, siapa Ulama Muslim yang terkehadapan ?

Tidak ada jawapnya. Apa yang kita ada pada hari ini adalh sebilang - bilang ulama yang saban hari menceritakan tentang ritual Islam. Tentang solat, zikir, mandi wajib, nikah kahwin cerai, halal dan haram. Amat sukar sekali kita menemui ulama yang membahaskan tentang sisi perniagaan, good governance, pendidikan moden, pengkajian ilmiah dalam bidang sains, astronomi, geografi, kelautan dan sebagainya. Hasilnya, pemikiran masyarakat kita hanya melihat Islam itu sebagai satu ritual yang wajib diikuti. Bukan melihat keindahan Islam itu sebagai jalan kehidupan yang terindah.

Berapa ramai dari kita yang sedar bahwa solat 5 waktu itu mengajar kita tentang disiplin masa dan konsistensi ?
Berapa ramai dari kita yang sedar bahwa qiamullail itu mengajar kita tentang sabar dan pengorbanan ?
Berapa ramai pula dari kita yang sedar bahwa setiap perbuatan ibadah itu ada kelebihan dari segi kesihatan ?

Saya pasti tidak ramai, kerana kita tidak ada Ulama yang mengkaji tentang itu. Yang ada cuma "Ulama" yang cuma membacakan hasil kajian orang lain yang dibuat 1000 tahun lampau. Ini juga adalah penyebab mengapa masyarakat Islam kita masih lagi seperti katak dibawah tempurung, kerana mindanya tidak terlatih untuk bertanya, berfikir dan mengkaji sedari kecil. Ianya laksana anak kecil yang sentiasa hendak disuapkan dengan bersudu, dan apabila tidak ada sudu untuk menyuap maka hilanglah upaya hendak makan. Bagaimanakah satu masyarakat yang berminda sebegini akan maju kehadapan, sedangkan kemajuan itu tidak dapat tidak mesti diusahakan dengan bersusah payah.

Meminjam kata - kata Benjamin Disraeli 'We have the strength and the spirit to create something, but without knowledge, any thing could not be made. Just like a cobbler must learn how to repair a shoes before making a shoes, so do we learn new knowledge as to create a strong nation.'

Tanpa pengetahuan maka kita hanyalah dipandang sebagai sampah selayaknya.
Tanpa orang yang berpengetahuan, maka kita tidak ada pengetahuan.
Berhentilah memandang kepada gelaran, dan mulakan memandang kepada pengetahuan.

18 comments:

  1. Teruskan tuan menulis. Saya sangat berminat dengan fikiran dan analisis yang tuan berikan tentang ulama. Cuma saya ingin memberi komen ttg latar belakang blog tuan. Putihkan latar belakang dengan tulisan berwarna hitam...agar tulisan tuan mudah dibaca. Sekian.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Insya - Allah. Saya akan usahakan untuk tukar pada template yang lebih readable. Terima kasih kerana singgah ke mari tuan, :)

      Delete
  2. Cuba intai laman web Persatuan Ulama. Buat analisis kandungan. Adakah terdapat Ulama tersohor dlm pelbagai cabang disiplin ilmu tersenarai dlm persatuan?
    Adakah anda berpendapat PUM mampu melaksanakan aktiviti utk mencapai objektif No.1 persatuan ini? Apakah bentuk tindakan yg boleh dilakukan jika PUM didapati kurang berkesan dlm usaha utk memertabatkan deenul Islam & memperkasa generasi Muslim utk berhadapan dgn cabaran menjelang abad 21? NATION AT RISK

    ReplyDelete
    Replies
    1. Akan saya intai - intaikan. Mohon kalau boleh dibantu dengan diberi link ke PUM, takut - takut saya tersilap Google, sampai ke tempat lain pulak. Terima kasih kerana singgah ke mari.

      Delete
  3. Terima kasih, analisa yang baik bagi kita sempena tahun baru ini.

    Jangan juga kita ketepikan bahawa saintis-saintis Islam pada tahun 900-1000an telah dikafirkan oleh "ulama-ulama" selepasnya seperti al Imam Ghazali dan sebagainya, seterusnya telah mendatarkan kecerunan pertumbuhan dunia Islam, dan akhirnya merosotkan kadar pertumbuhan ilmu dunia islam. Ilmu yang diberi perhatian hanya lah hukum-hakam yang tidak diberi otoriti oleh Allah, sedangkan Allah meminta kita perhatikan alam dunia kita. Sesuatu yang boleh diperhatikan tentu boleh diukur, yang boleh diukur tentu boleh difahami dan kemudian diagak melalui kiraan. Ini lah kewarakan kepada ilmu, inilah yang dituntut.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih tuan. Kongsikan informasinya bersama saya kerana saya agak kekurangan maklumat berkenaan isu 'pengkafiran' ini,walaupun saya ada membaca serba sedikit mengenai perkara ini. Saya pasti yang jika isu ini diketengahkan, ianya boleh menjadi suatu perbincangan yang membuka minda.

      Delete
  4. Quran mengajar kita gunakan common sense ...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Benar saudara. Dan ramai juga yang membaca Al - Qur'an, tetapi 'tidak menggunakan akal'. Akal dianugerahkan Allah, sudah pastilah Allah tidak akan mengurniakan perkara yang sia - sia kepada hambaNya.

      Delete
  5. Good write up ! The following blog might also be of interest to you..this makcik is a prolific writer and talks a lot of sense based on facts and personal experience.we can all learn from her

    http://www.blogger.com/comment.g?blogID=6504059632454233163&postID=7165395576343372064

    ReplyDelete
    Replies
    1. Will go and check it out. Thank you for dropping by. Really appreciate the information bro. :)

      Delete
  6. Sukar utk mengubah mentaliti org kita agar tidak mengikut kata2 agamawan secara membuta tuli. Mereka tidak sedar quran telah mengecam golongan ini dlm byk ayat. Maaf sy x igt ayat mana tapi antara isinya:
    - ... and they have taken their priests as their Lord
    -.. dan org2 yg tidak menggunakan akal itu lebih buruk dari binatang ternakan
    namun kejadian2 ulama yg mengeluarkan pendapat atau fatwa berkepentingan itu menunjukkan mereka juga manusia biasa mcm org lain dan kata2 mereka tidak patut dipatuhi tanpa mengesahkan terlebih dahulu dgn quran.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih saudara. Insya - Allah akan saya cuba selidiki berkenaan ayat - ayat tersebut, dan barangkali kita boleh membincangkan bersama.

      Delete
  7. Makanan untuk fikiran yg amat memuaskan.



    Terima kasih!

    ReplyDelete
  8. Terima kasih atas tulisan anda. Alhamdulillah, ianya berjaya membuka mata saya tentang persepsi 'Ulama' yang saya fahami sebelum ini. Mohon saudara berikan komen tentang definisi 'Ulama'; berdasarkan carian wikipedia yang saya buat disini :http://en.wikipedia.org/wiki/Ulama...nampaknya, sekali lagi definisi ulama hanya berada dalam ruang lingkup dan terbatas atas dasar ilmu agama Islam sahaja. Saya lebih senang jika mereka yang belajar dan mempunyai ilmu agama dipanggil 'guru agama' atau ustaz sahaja. Allahualam.

    ReplyDelete
  9. Salam,

    Zaman nabi Yusuf, sewaktu baginda mentakwil mimpi 5 tahun yang subur dan 5 tahun yang gering, berjaya juga negaranya mengawal masalah 'food security' dan sediakan makanan untuk 5 tahun kedua, dengan mengekalkan kemakmuran negara.
    Kita di Malaysia musim tengkujuh dua tiga bulan harga ikan dah naik sampai tak terbeli.
    Di mana ulama' kita?

    ReplyDelete

Search

Bookmark Us

Delicious Digg Facebook Favorites More Stumbleupon Twitter